KUALA LUMPUR, 18 Januari- Kementerian Pengangkutan (MOT) menyambut baik inisiatif pihak swasta menyediakan platform transaksi jual beli motosikal yang lebih terjamin dan mampu melindungi pengguna.
Menterinya, Anthony Loke turut mengalu-alukan kerjasama strategik pihak swasta yang lain dalam memberi akses jual beli kenderaan menerusi aplikasi digital yang selamat dan bebas daripada sebarang risiko penipuan.
"Saya lihat aplikasi ini ke arah tersebut untuk melindungi pengguna, sebab itu saya menyokong konsep ini dan kita mengalu-alukan syarikat dan pihak swasta untuk ada inovatif kreativiti menyelesaikan masalah-masalah ini.
"... dan bila apabila ada syarikat yang menawarkan aplikasi seperti ini sebagai satu pasaran kita amat alu-alukan", katanya kepada pemberita selepas merasmikan aplikasi Rider Gate di ibu negara.
Tambahnya lagi, aplikasi seumpama itu merupakan teknologi inovatif yang memberi keyakinan kepada pengguna dengan memastikan setiap transaksi dilakukan secara telus.
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mengadakan perbincangan lanjut dalam memperincikan integrasi yang boleh dilaksanakan bagi memastikan pematuhan dan proses jual beli motosikal yang lebih mudah serta meningkatkan perkhidmatan pemindahan pemilikan motosikal secara dalam talian.