fb fb fb fb fb

Jemaah terkandas ke umrah, Na'im gesa tindakan tegas kepada pengendali

Foto FB Menteri

KUALA LUMPUR, 18 Januari- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na'im Mokhtar berharap tindakan keras dapat diambil berhubung kegagalan sebuah syarikat pengendali umrah menerbangkan 379 jemaah ke Tanah Suci, baru-baru ini.

Semua pihak diminta bertenang dan menyerahkannya kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan.

"Seperti mana yang kita sedia maklum, laporan polis banyak telah dibuat oleh pihak jemaah tersebut. Saya berharap kita semua bertenang dan kita serahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan.

Selain mengambil tindakan yang keras kepada ejen pelancongan yang tidak bertanggungjawab agar ia menjadi pengajaran kepada mereka yang lain," kata Dr. Na'im kepada pemberita, hari ini.

Beliau ditemui selepas menghadiri Majlis Konvokesyen Kali Ke-15 Kolej Universiti Antarabangsa MAIWP (UCMI) di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di ibu negara.

Tegasnya, setiap syarikat pengendali umrah seharusnya tidak mengkhianati amanah yang diberikan demi mengejar keuntungan dalam tempoh yang singkat.

Selain itu, umat Islam pula dinasihatkan agar sentiasa membuat semakan terlebih dahulu dan berhati-hati supaya tidak sewenang-wenangnya terpedaya dengan promosi pakej umrah yang ditawarkan oleh pihak agensi. 

Sementara itu, seramai 1094 graduan telah berjaya menamatkan pengajian masing-masing dalam pelbagai bidang termasuk lapan graduan sulung Program Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) UCMI MAIWP.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM