fb fb fb fb fb

Malaysia seru kerjasama menerusi platform ATF 2025

Perasmian ASEAN Tourism Forum (ATF) 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor/ BERNAMA

JOHOR BAHRU, 18 Januari- Malaysia menyeru menteri-menteri pelancongan ASEAN dan negara berkaitan, untuk mengambil peluang menjalinkan kerjasama, menerusi ASEAN Tourism Forum (ATF) 2025 yang berlangsung di Johor Bahru, sehingga 20 Januari ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, ATF menjadi platform untuk negara terlibat berkongsi pendapat dan tindakan.

Menurut beliau, penganjuran ATF 2025 adalah simbolik kepada semangat negara ASEAN, membina ekonomi pelancongan berdaya tahan yang akan memanfaatkan semua pemegang taruh.

Perkara tersebut secara tidak langsung, mencipta ekosistem pelancongan yang mampan, inklusif dan berdaya tahan, untuk tahun-tahun akan datang.

"Penganjuran ATF 2025 di Johor Bahru ini bukan sahaja menjadi simbolik kepada hasrat Malaysia untuk mengetengahkan hab pelancongan yang sedang menyinar, selain Kuala Lumpur.

"Malah ia berperanan menyemarakkan semangat Tahun Melawat Malaysia 2026. Johor yang kaya dengan warisan budaya, landskap semulajadi dan infrastruktur berkelas dunia, menjadi contoh kepada usaha negara menawarkan pengalaman perjalanan yang majmuk dan berbaloi", katanya semasa Majlis Pembukaan ATF 2025 di Persada, Johor Bahru.

Malaysia juga mengalu-alukan kerjasama dari negara luar, untuk menganjurkan acara berkonsepkan aktiviti bersemangat dan program sepanjang tahun.

Turut hadir, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing dan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

ROSLINA BINTI DIN