fb fb fb fb fb

Parlimen perlu terajui usaha integrasi serantau

Tan Sri Dr Johari Abdul yang juga Yang Dipertua Dewan Rakyat menyampaikan ucapan pembukaan sempena AIPA ke-46/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 19 September- Parlimen harus memainkan peranan utama dalam memacu usaha integrasi serantau demi menjamin keamanan, kestabilan serta pertumbuhan inklusif di Asia Tenggara.

Menurut Yang Dipertua Dewan Rakyat merangkap Presiden Perhimpunan Agung Antara Parlimen ASEAN (AIPA) Tan Sri Dr Johari Abdul, pencapaian pada Sidang Kemuncak ASEAN yang berlangsung baru-baru ini menyerlahkan kepentingan peranan aktif Parlimen dalam memastikan kejayaan inisiatif serantau menerusi penelitian dasar, proses ratifikasi domestik dan pelaksanaan undang-undang yang berkesan.

“Kesemua inisiatif menuntut penelitian, proses ratifikasi domestik dan pelaksanaan undang-undang yang akhirnya akan dipantau oleh Parlimen masing-masing,” katanya ketika berucap pada AIPA ke-46 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.

Beliau mengingatkan Ahli Parlimen bahawa tanggungjawab utama mereka ialah membawa suara rakyat, sambil menegaskan bahawa keabsahan dan kelangsungan Parlimen sebagai institusi demokrasi bergantung sepenuhnya pada sejauh mana amanah itu dipelihara.

Beliau berkata, dalam era 'Internet Kebendaan', Parlimen harus menjadi institusi 'bersih tanpa cela' dengan menjunjung prinsip ketelusan dan akauntabiliti secara masa nyata kerana demokrasi mesti menunaikan janjinya atau berisiko kehilangan makna.

Tambahnya, peranan AIPA amat penting dalam menyelaraskan undang-undang negara dengan rangka kerja serantau ASEAN, sekali gus menjadikan aspirasi serantau sebagai realiti undang-undang domestik sama ada dalam perdagangan digital, kewangan lestari, teknologi hijau, keterjaminan makanan, tindakan menangani perubahan iklim atau perlindungan sosial, yang kesemuanya memerlukan rangka kerja undang-undang yang membuka ruang inovasi sambil melindungi rakyat.

Ahli Parlimen juga diingatkan, mereka bukan sekadar penggubal undang-undang malah merupakan 'pembina jambatan' yang dipertanggungjawabkan untuk membentuk keamanan, kestabilan dan kemajuan inklusif di seluruh rantau ini.

ROSLINA BINTI DIN