KUALA LUMPUR, 2 Mei – Parlimen Mahasiswa kini menjadi saluran rasmi bagi pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) untuk menyuarakan isu kampus secara langsung kepada pihak pengurusan universiti.
Menurut Dr. Salmiwati Othman dari Pusat Pembangunan Pelajar, sidang Parlimen Mahasiswa merupakan simulasi demokrasi berperanan mengangkat suara anak muda yang tidak berpuas hati terhadap pengalaman mereka di universiti.
Menurut beliau, para pelajar akan berdebat dan pandangan penuntut dibahaskan bersama pihak berkepentingan sebelum usul-usul dirumus dan dibawa ke peringkat pusat di UiTM Shah Alam.
Katanya, antara isu utama yang sering diketengahkan melibatkan kebajikan pelajar seperti penyediaan peranti percuma dan kenaikan harga makanan.
“Yang penting mestilah berkaitan dengan kebajikan pelajar. Sebab macam tadi, komputer itu sangat penting kerana sekarang semua pelajar belajar secara Pendidikan Terbuka dan Jarak Jauh (Open and Distance Learning, ODL), jadi mesti dalam talian.
"Kalau tak ada peranti yang bagus, tak semua orang ada peranti, jadi kena dapatkan solusi untuk menyelesaikan masalah tersebut,” katanya ketika ditemui RTM selepas menjadi tetamu Selamat Pagi Malaysia (SPM) di Angkasapuri Kota Media, di sini hari ini.
Sementara itu, Penolong Naib Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM, Zul Fadzli Wan Barhama berkata, antara usul yang berjaya dilaksanakan termasuk penambahbaikan proses pemilihan MPP agar ia diurus sepenuhnya oleh mahasiswa.
“Kalau kita tengok pada sesi lalu, mereka ada mengusulkan jawatankuasa pemilihan MPP. Dahulu, fakulti atau universiti akan terlibat dalam pemilihan MPP, tetapi sekarang semuanya telah diberikan sepenuhnya kepada mahasiswa untuk memilih MPP baharu,” ujarnya.