fb fb fb fb fb

KKM tidak saman jika tidak papar harga ubat tiga bulan pertama

Gambar hiasan

PUTRAJAYA, 2 Mei - Tiada sebarang tindakan atau saman akan dikeluarkan sepanjang tempoh tiga bulan pelaksanaan Perintah Pemaparan Harga Ubat yang bermula semalam, kata Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perkhidmatan Farmasi), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dr. Azuana Ramli.

Beliau berkata, tumpuan utama sepanjang tempoh itu adalah kepada fasa penguatkuasaan pendidikan bagi membolehkan pihak berkaitan memahami sepenuhnya keperluan pelaksanaan perintah berkenaan.

“Ia akan menjadi satu proses pembelajaran untuk kedua-dua pihak. Maksudnya, dalam perintah ini sudah jelas apa yang perlu dilakukan dan bagaimana ia dilaksanakan.

“Sepanjang tempoh tiga bulan ini, kita akan lihat bagaimana ia dilaksanakan. Jadi, fasa ini akan berjalan sebagai tempoh pemahaman dan pendidikan,” katanya pada Taklimat Media berhubung Inisiatif Pemaparan Harga Ubat di sini, hari ini.

Turut hadir pada sesi taklimat itu ialah Ketua Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Azman Adam.

Inisiatif Pemaparan Harga Ubat di kemudahan jagaan kesihatan swasta dan farmasi komuniti di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 (Akta 723) mula dilaksanakan secara rasmi pada 1 Mei.

Pelaksanaan ini bertujuan meningkatkan ketelusan harga ubat di pasaran sekaligus melindungi hak pengguna untuk membuat pilihan bijak berkaitan kos rawatan perubatan.

BERITA BERKAITAN

GRACE AISYAH KEDAYAN