fb fb fb fb fb

RM10 juta geran PHKES akan diagihkan bermula 12 Mei ini

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad

KUALA LUMPUR, 2 Mei - Penyerahan Geran Pembangunan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (PHKES) yang diperuntuk sebanyak RM10 juta tahun ini akan diagihkan menerusi siri jelajah negeri bermula 12 Mei ini.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, jumlah peruntukan tahun ini meningkat ketara berbanding RM5.8 juta pada tahun lalu bagi memperkasa pelaksanaan program latihan, advokasi dan pembangunan kesatuan.

“Jelajah akan dimulakan di Sabah pada 12 Mei, diikuti Sarawak pada 16 Mei. Saya sendiri akan melancarkan program tersebut".

“Bagi negeri-negeri di Semenanjung, saya dan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim akan bergilir melaksanakan tugasan. Saya mungkin akan ke Terengganu manakala Steven ke Melaka, dan kami akan teruskan sehingga selesai keseluruhan jelajah,” katanya selepas merasmikan Sambutan Hari Pekerja CUEPACS 2025 di ibu negara, hari ini.

Mengulas lanjut, Datuk Seri Abdul Rahman memaklumkan pertambahan peruntukan bagi Geran PHKES ini membolehkan lebih banyak kesatuan mendapat manfaat.

“Sebanyak 551 kesatuan akan menerima manfaat menerusi geran ini, yang diberikan bagi melaksanakan pelbagai program pembangunan kesatuan. Usaha ini turut disokong oleh Presiden CUEPACS, Datuk Dr Adnan Mat,” katanya lagi.

Dalam majlis sama, beliau turut menyampaikan Anugerah Hari Pekerja CUEPACS 2025 melibatkan lapan kategori, antaranya Anugerah CUEPACS Negeri Contoh, Anugerah Kesatuan Sekerja Cemerlang dan Anugerah Majikan Prihatin Peringkat Persekutuan.

Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), Datuk Azman Mohd Yusof dan Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

MUHAMMAD ASYRAF BIN MOHD ZUHAIRIE