fb fb fb fb fb

Parlimen Kangar anjur Program Ngaji

(FOTO IKAF)

KANGAR, 20 Oktober- Sebagai umat Islam, kita seharusnya mampu untuk membaca kitab suci al-Quran dengan lancar selain belajar untuk memahami setiap ayat yang dibaca.

Setiap isi kandungan dan tafsiran al-Quran sentiasa relevan untuk dijadikan panduan dan amalan hidup pada setiap masa dan atas sebab itulah Program Ngaji ini dilaksanakan di Parlimen Kangar.

Menurut Pengerusi Yayasan Khayr Ummah Antarabangsa (IKAF), Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahaya, kelas pengajian al-Quran sebegini dapat diterima masyarakat kerana dilihat lebih mudah untuk mereka hadir ke lokasi ditetapkan dan mengatur masa sendiri untuk sama-sama mempelajari pembacaan dan ilmu Al-Quran.

"Penghayatan masyarakat terhadap al-Quran perlu sentiasa dipertingkatkan untuk keberkatan hidup di dunia mahupun akhirat serta menjadi panduan dalam kehidupan kita sebagai seorang umat Islam.

"Selagi ada kesempatan dan umur, bacalah al-Quran setiap hari kerana ia membantu kita menghayati isi kandungan kitab suci dan membantu memperbaiki bacaannya,"katanya.

Program Ngaji peringkat Parlimen Kangar ini dilaksanakan secara mingguan di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri pada hari Isnin hingga Jumaat dengan melibatkan seramai 30 orang peserta setiap DUN dikendalikan lima tenaga pengajar berpengalaman.

Beliau memaklumkannya ketika meninjau Program Ngaji di Masjid Ar Rahmaniah, Kuala Perlis yang turut mendapat kerjasama Biro Agama UMNO Bahagian Kangar.

Program itu akan diteruskan dengan pelaksanaan secara berkala dengan sasaran lebih ramai akan menyertainya sebagai satu usaha penyampaian ilmu melalui al-Quran dan seterusnya menjadi amal ibadat bekalan akhirat.

(FOTO IKAF)

Media Baharu