KUALA LUMPUR, 5 Mei - Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) melancarkan papan pemuka prestasi syarikat penerbangan dan lapangan terbang yang ditambah baik dalam laman sesawang rasminya, www.mavcom.my.
Penambahbaikan bertujuan menyediakan analisis lebih menyeluruh dan terperinci mengenai perkara berkenaan.
Ciri-ciri baharu dan skop data prestasi lebih luas diperkenal, merangkumi operasi syarikat penerbangan domestik dan antarabangsa di Malaysia.
Menerusi kenyataan medianya, MAVCOM memaklumkan, penambahbaikan utama termasuk keupayaan pengguna penerbangan untuk mengakses data Prestasi Tepat Masa (OTP) dan pembatalan penerbangan yang berlepas dari pelbagai lapangan terbang di seluruh negara.
Ia melangkaui tumpuan sebelum ini yang hanya merangkumi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dan 2.
"Pengguna penerbangan juga berpeluang menganalisis trend OTP dan pembatalan penerbangan bagi sektor domestik dan antarabangsa yang dikendalikan syarikat penerbangan Malaysia bagi penerbangan yang berlepas dari negara ini.
"Penambahbaikan penting lain ialah penyertaan data OTP dan data pembatalan penerbangan bagi syarikat penerbangan asing yang berlepas dari KLIA T1 dan T2," menurut kenyataan itu.
Papan pemuka ini turut memaparkan metrik dan keputusan prestasi lapangan terbang di bawah Rangka Kerja Kualiti Perkhidmatan (QoS) Lapangan Terbang yang menetapkan piawaian dan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi lapangan terbang bertujuan meningkatkan keselesaan dan pengalaman keseluruhan pengguna.
Sekiranya analisis MAVCOM terhadap prestasi lapangan terbang menunjukkan ketidakpatuhan terhadap sasaran yang ditetapkan di bawah Rangka Kerja ini, penalti kewangan akan dikenakan ke atas pengendalinya.
Sementara itu, Pengerusi Eksekutif MAVCOM, Datuk Seri Saripuddin Kasim memaklumkan, pelancaran papan pemuka yang dipertingkat itu satu langkah penting ke arah mempromosikan ketelusan dan akauntabiliti lebih tinggi dalam industri penerbangan di Malaysia.
"Ia mempertingkatkan keupayaan untuk menjejak, menganalisis dan memantau keterlihatan prestasi syarikat penerbangan dan lapangan terbang," katanya.
Dengan memanfaatkan alat berasaskan data ini, MAVCOM berhasrat untuk meningkatkan piawaian perkhidmatan dan mendorong penambahbaikan berterusan dalam sektor penerbangan Malaysia.