fb fb fb fb fb

Pantau media sosial, elak maklumat palsu penyasaran subsidi diesel

FOTO FAIL BERNAMA

IPOH, 19 Jun - Kerajaan Perak akan meminta agensi berkaitan untuk memantau platform media sosial bagi memastikan tiada sebarang maklumat palsu dilakukan berikutan penyasaran subsidi diesel.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO negeri Mohd Azlan Helmi berkata, unsur fitnah dan kenyataan tidak berasas sama sekali tidak dibenarkan meskipun ada hak kebebasan bersuara.

"Tindakan tegas akan diambil dalam membendung unsur atau gejala ini. Bukan nak menghukum, tapi untuk mendisplinkan masyarakat supaya menyalurkan maklumat yang betul," katanya selepas merasmikan Pertandingan Muaythai Peringkat Antarabangsa di Dewan Tokong Penganut-Penganut Huat Tian Keong di sini, malam tadi.

Mohd Azlan menyarankan agar orang ramai berhati-hati serta membuat pertimbangan sewajarnya, dalam memahami tindakan dilakukan kerajaan berhubung penyasaran tersebut.

"Apa yang dilakukan kerajaan ini sebenarnya untuk mencegah penyeludupan dan mengembalikan semula subsidi itu kepada perkara yang lebih mustahak terutama dalam aspek pembangunan, kesihatan dan pendidikan," katanya.

Azlan berkata individu yang berkelayakan namun gagal untuk mendapatkan bantuan subsidi diesel tersebut, boleh mengemukakan rayuan beserta bukti kepada agensi berkaitan.

Pada 9 Jun, kerajaan mengumumkan harga runcit bahan api diesel ditetapkan RM3.35 seliter bermula semalam (10 Jun) di Semenanjung manakala di Sabah, Sarawak dan Labuan pula kekal pada RM2.15 seliter.

TETITIA YUSOFF