fb fb fb fb fb

Pantau dan kawal kemasukan pelancong di sempadan, pasukan khas polis ditubuhkan


ALOR SETAR, 23 Februari
- Polis Kedah menubuhkan pasukan khas bagi memantau dan mengawal kemasukan pelancong melalui pintu masuk sempadan Malaysia-Thailand khususnya di Bukit Kayu Hitam.

Ia susulan cadangan pembukaan semula sempadan negara oleh Majlis Pemulihan Negara (MPN) bagi merancakkan kembali ekonomi negara.

Ketua Polis Kedah, Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad berkata, pihaknya akan bergerak seiring dengan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) agar sebarang tindakan dapat dilaksanakan dengan baik dan berkesan.

Ini termasuk langkah pencegahan dan kawalan sekiranya berlaku jangkitan COVID-19 di pintu masuk negara.

Selain itu, pelan tindakan bersepadu bagi membanteras jenayah turut diaktifkan.

"Dua tahun ini sememangnya bila sempadan tidak dibuka mungkin kejadian jenayah pun agak kurang dan sebagainya, kemalangan pun mungkin berkurangan dalam tempoh dua tahun ini.Tetapi untuk perancangan tindakan kita di Kedah ini apabila sempadan dibuka, kita beranggapan mungkin akan berlakunya lebih banyak kemasukan dan sebagainya. Makaberlaku banyak kesalahan jenayah 'transborder', juga kesalahan jenayah-jenayah lain turut akan meningkat," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Peralatan Banjir oleh Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) kepada polis di Alor Setar.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Dato’ Syeikh Zakaria Othman yang menyerahkan peralatan seperti pelampung, jaket keselamatan dan lampu suluh untuk digunakan oleh anggota polis semasa bencana.

Ia melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM50,000.

Media Baharu