fb fb fb fb fb

Perdana Menteri lawat Thailand, bincang cadangan buka sempadan dan pengiktirafan sijil vaksinasi digital

BANGKOK, 23 Februari - Cadangan pembukaan sempadan udara, darat dan laut Malaysia-Thailand, dijangka akan dimuktamadkan dalam pertemuan sulung pemimpin nombor satu kedua-dua negara pada Jumaat, di Bangkok.

Insiatif berkenaan bertujuan merancakkan semula aktiviti ekonomi dan pergerakan rakyat kedua-dua negara.

Duta Besar Malaysia di Thailand, Datuk Jojie Samuel berkata, susulan itu satu jawatankuasa kerja yang dianggotai pihak berkepentingan Malaysia-Thailand bakal ditubuhkan untuk memperhalusi mekanisme dan Prosedur Operasi Standard (SOP) insiatif tersebut.

"Tapi ia bergantung kepada pihak Kerajaan Malaysia untuk menentukan bila masanya. Kita jangkakan tidak lama lagi", katanya pada sidang media bersama media Malaysia di sini hari ini.

Mesyuarat dua hala antara Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan rakan sejawatnya, Prayuth Chan o-cha, juga akan memperincikan kepentingan pengiktirafan timbal balas sijil vaksinasi digital kedua-dua negara.

Thailand juga menyatakan hasrat untuk mewujudkan kerjasama penyelidikan dan pembangunan vaksin bersama negara ini.

Malaysia pula meletakkan keutamaan untuk meningkatkan kesaling-hubungan melalui projek-projek infrastruktur di sempadan kedua-dua negara yang menjadi nadi kepada kegiatan ekonomi merangkumi 70 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia-Thailand.

Meskipun dalam fasa pandemik, jumlah perdagangan dua hala Malaysia-Thailand mencatatkan peningkatan positif sebanyak 23 peratus pada tahun 2021, iaitu RM 97.97 bilion berbanding RM79.63 bilion pada tahun sebelumnya.

Perdana Menteri dan delegasi Malaysia yang turut disertai Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, dijadual tiba di Thailand pada Khamis, iaitu selepas menamatkan agenda lawatan kerja di Kemboja.

Media Baharu