fb fb fb fb fb

Dua produk susu formula tercemar

PUTRAJAYA, 23 Februari - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberitahu dua produk rumusan bayi dikesan mengandungi bakteria.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan hari ini berkata produk susu berkenaan keluaran Abbott Nutrition's Sturgis dari Amerika Syarikat.

Katanya, KKM mengambil maklum laporan oleh Pihak Berkuasa Dadah dan Makanan, Amerika Syarikat (USFDA) mengenai isu penemuan bakteria Cronobacter sakazakii dan Salmonella Newport.

"Produk rumusan bayi yang terlibat iaitu Alimentum (400g) dan Human Milk Fortifier (0.9gx50 sachets) dengan nombor batch yang dimulai digit 22 hingga 37 pada kodbar di bekas bernombor K8, SH atau Z2 serta mempunyai tarikh luput 1.4.2022 dan seterusnya.

"Bakteria Cronobacter sakazakii terdapat secara meluas di persekitaran dan boleh hidup pada keadaan kering seperti di dalam rumusan bayi.

"Jangkitan bakteria itu boleh menyebabkan meningitis atau sepsis," katanya.

Menurutnya, KKM telah mengenakan tindakan penolakan (auto-rejection) di semua pintu masuk negara ke atas produk terlibat.



"Kami menghubungi pihak syarikat Abbott Laboratories (M) Sdn. Bhd. dan mengesahkan bahawa pihak syarikat telah membuat penarikan balik (recall) produk terlibat yang berada di pasaran tempatan secara sukarela serta mengambil tindakan proaktif dengan menghubungi peruncit, pengedar dan insitusi yang membeli produk berkenaan agar menghentikan penjualan produk tersebut.

Oleh itu, semua peniaga termasuk peniaga atas talian yang masih mempunyai stok produk tersebut hendaklah menghentikan serta-merta penjualan dan menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah terdekat.

"Ibu bapa dan penjaga pula dinasihatkan untuk mengenal pasti batch kod rumusan bayi mereka serta berhenti menggunakan produk yang terlibat dan memantau kesihatan bayi mereka."

Katanya, dapatkan rawatan segera sekiranya bayi mempunyai gejala selepas meminum rumusan susu bayi tersebut.

Noor Hisham berkata, KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna.

Sebarang kemusykilan orang ramai berhubung sebarang isu keselamatan makanan, pengguna boleh menghubungi mana-mana pejabat kesihatan daerah atau jabatan kesihatan negeri terdekat atau melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau Facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq.

Media Baharu