MUAR, 23 Februari- Polis Johor menganjurkan Majlis Memperingati Peristiwa Bukit Kepong, bersempena Hari Polis ke 215 di Bukit Kepong, Muar, pagi tadi.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, ia bagi memperingati peristiwa Balai Polis Bukit Kepong yang musnah diserang komunis, 72 tahun lalu.
"Kita mengadakan majlis menziarahi pusara, dan diakhiri dengan bacaan Yasin, di Masjid Bukit Kepong," katanya selepas hadir pada Majlis Memperingati Peristiwa Bukit Kepong di Galeri Darurat, Bukit Kepong, Muar.
Sumbangan dan penghargaan turut diberikan kepada waris - waris pejuang tragedi Bukit Kepong.
Antaranya Jamilah Abu Bakar iaitu mangsa terselamat dalam tragedi itu, namun telah mengorbankan ahli keluarganya yang lain.
"Komunis datang, lepas tu mereka tembak bapak saya, peluru sampai tertimbus ni. Ibu dan adik juga meninggal dalam keadaan berpelukan. Kemudian mereka mencampakkan saya ke dalam longkang dan nak tikam dengan bayonet," kata Jamilah.
Sementara itu, cucu pejuang Bukit Kepong , Redzuan Ahmad berkata tragedi hitam itu sememangnya meninggalkan kesan yang mendalam.
"Yang meninggal, datuk saya, Ibrahim Adam.. ketika itu berkhidmat sebagai polis marin. Kesan tu memang amat dirasai dan kami amat mengalu-alukan program ini yang dapat mengimbau kembali sejarah lama tentang Bukit Kepong,"katanya.
Bukit Kepong adalah sebuah pekan terpencil di selekoh Sungai Muar kira-kira 59km dari Bandar Muar, Johor.
Lokasinya yang terasing menjadikannya sasaran gerila Parti Komunis Malaya (PKM) yang sedang memberontak melawan British pada ketika itu.
Serangan itu telah mengorbankan seramai 24 pegawai, anggota, serta ahli keluarga polis.