HULU SELANGOR, 12 Mei- Pang Sock Tao memulakan tugasnya sebagai wakil rakyat baharu Dewan Negeri Kuala Kubu Baharu hari ini dengan bertemu masyarakat di Pasar Rasa.
Kehadiran Pang, 31, bersama-sama suami Yap Bing Yew, 32, pada pukul 9.00 pagi disambut orang ramai.
Beliau meluangkan masa hampir setengah jam bertemu penduduk bagi menyampaikan penghargaan dan memberikan kuntuman bunga sempena Hari Ibu kepada golongan wanita yang berada di pasar berkenaan.
Seterusnya beliau bergerak ke Pasar Awam Kuala Kubu Baharu bertemu masyarakat untuk mengucapkan terima kasih.
Menurut Pang yang ditemui pemberita berkata Pusat Khidmat Ahli Dewan Negeri akan mula dibuka Selasa ini selain meluahkan keterujaannya untuk berkhidmat kepada warga Kuala Kubu Baharu.
"Saya akan mendahulukan masalah tempatan yang mempengaruhi penduduk seperti lampu jalan raya dan longkang. Saya akan bekerjasama dengan Malis Perbandaran Hulu Selangor untuk selesaikan masalah tempatan dahulu.
"Untuk jangka masa panjang seperti yang dinyatakan dalam manifesto, saya akan berusaha untuk meningkatkan kelajuan dan liputan internet dan menaik taraf sistem pengangkutan dengan mewujudkan bas pelancongan pada hujung minggu," katanya.