JASIN, 12 Mei- Karnival Kita MADANI Peringkat Negeri Melaka 2024 di Felda Tun Ghafar Bukit Senggeh, Asahan, mendapat sambutan yang baik daripada masyarakat.
Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital Melaka Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, karnival yang berlangsung selama tiga hari itu membuktikan konsep Malaysia MADANI disambut baik rakyat khususnya di negeri itu.
Program anjuran Jabatan Penerangan (JaPen) Melaka untuk mendekati komuniti melalui pelbagai pengisian yang disusun itu, amat baik dan berkesan.
"Jadi program ini amat baik dan saya amat berterima kasih dengan Jabatan Penerangan (JaPen) kerana telah memilih Felda Tun Ghafar Bukit Senggeh di Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan untuk bersama-sama kita beramah mesra dengan komuniti ini.
"Saya difahamkan setiap program itu mendapat sokongan luar biasa daripada komuniti ini menunjukkan rakyat menerima konsep MADANI yang diilhamkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas perasmian Karnival Kita MADANI Peringkat Negeri Melaka 2024 di Felda Bukit Senggeh, Asahan, di sini.
Antara pengisan program termasuk taklimat isu semasa, pertandingan bersama komuniti, program keagamaan seperti Quran Hour dan Gegau Subuh serta jamuan rakyat.
Pada program itu, turut diadakan penyampaian hadiah bagi pelajar cemerlang dan pertandingan rakyat.