fb fb fb fb fb

12 orang termasuk kanak-kanak, korban banjir kilat bawa lava sejuk di Indonesia

FOTO REUTERS

PADANG, 12 Mei- Sekurang-kurangnya 12 orang, termasuk beberapa kanak-kanak, terbunuh dan empat lagi hilang selepas banjir kilat dan aliran lava sejuk dari gunung berapi melanda barat Indonesia pada Ahad.

Bencana itu melanda daerah Agam dan Tanah Datar di wilayah Sumatera Barat kira-kira pukul 10.30 malam pada hari Sabtu selepas hujan lebat beberapa jam, mencetuskan banjir kilat dan aliran lava sejuk dari Gunung Marapi, menurut agensi mencari dan menyelamat Basarnas .

Lahar sejuk, adalah bahan gunung berapi seperti abu, pasir dan kerikil yang dibawa turun ke cerun gunung berapi oleh hujan.

"12 orang maut dan mereka telah dibawa ke hospital dan empat orang lagi masih dicari di daerah Agam," kata ketua agensi penyelamat tempatan Abdul Malik dalam satu kenyataan.

Sembilan mayat telah dikenal pasti termasuk seorang kanak-kanak berusia tiga tahun dan lapan tahun, katanya.

"Hari ini, kita akan meneruskan pencarian di dua daerah itu."

Pihak berkuasa menghantar pasukan penyelamat dan bot getah untuk mencari mangsa yang hilang dan membawa orang ramai ke tempat perlindungan.

Kerajaan tempatan menubuhkan pusat pemindahan dan pos kecemasan di beberapa tempat di dua daerah itu.

Indonesia terdedah kepada tanah runtuh dan banjir semasa musim hujan.

Pada bulan Mac sekurang-kurangnya 26 orang telah ditemui mati selepas tanah runtuh dan banjir melanda Sumatera Barat.

Banjir yang melanda pada Sabtu di Agam dan Tanah Datar turut membawa lahar sejuk turun dari Gunung Marapi, gunung berapi paling aktif di Sumatera dan salah satu daripada hampir 130 gunung berapi aktif di kepulauan Indonesia.

Pada bulan Disember, Marapi meletus dan memuntahkan menara abu 3,000 meter (9,800 kaki) ke langit, lebih tinggi daripada gunung berapi itu sendiri.

Sekurang-kurangnya 24 pendaki, kebanyakannya pelajar universiti, maut dalam letusan itu.- AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE