MIRI, 12 Mei- Jenazah Yang di-Pertua Dewan Negara Datuk Mutang Tagal tiba di Lapangan Terbang Miri disambut dengan Istiadat Penghormatan Terakhir oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Jenazah mendiang diterbangkan menggunakan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Charlie 130 Hercules dari Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang tiba di Miri kira-kira pukul 10.40 pagi.
Mengiringi jenazah mendiang ialah isterinya Datin Ho May Leng dan ketiga-tiga anaknya, Rining Tagal, Saran Tagal, Bian Tagal, bapa mendiang serta ahli-ahli keluarga yang lain.
Jenazah Mutang seterusnya dibawa ke gereja Borneo Evangelical Mission (BEM) Miri.
Sementara itu, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta isteri Puan Sri Juma’ani Tuanku Haji Bujang; Timbalan Premier Sarawak Prof. Dr Sim Kui Hian serta isteri, Timbalan Premier Awang Tengah Ali Hasan serta isteri dijangka tiba untuk Majlis Penghormatan Terakhir di BEM Miri pada pukul 1.00 tengah hari ini.
Turut hadir menyambut ketibaan jenazah ialah Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom; Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen & Pemantauan Projek) merangkap Penyelaras Persediaan Majlis Penghormatan Yang di-Pertua Dewan Negara Mendiang Senator Datuk Mutang Tagal, Datuk Gerawat Gala.
Seterusnya esok, jenazah akan dibawa ke BEM Canada Hill Miri esok untuk memberi peluang kepada rakyat jelata memberi penghormatan terakhir mulai pukul 10.00 pagi hingga 1.00 petang.
Selepas tamat, upacara penghormatan terakhir di BEM Canada Hill Miri, seterusnya keranda mendiang akan dibawa ke tanah perkuburan di Golden Hill Memorial Park, Lambir Miri.
Mendiang Mutang Tagal meninggal dunia pada pukul 11.46 pagi pada 10 Mei di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.
Terdahulu mendiang menerima rawatan di sana setibanya di Malaysia pada Isnin, 6 Mei daripada Azerbaijan untuk lawatan kerja rasmi.