fb fb fb fb fb

Pampasan sehingga 60 peratus kepada jemaah umrah

KOTA BHARU, 6 Februari- Kerajaan akan memberi pampasan sehingga 60 peratus daripada jumlah kerugian yang ditanggung oleh jemaah yang tidak berpeluang menunaikan umrah sepanjang penutupan sementara sempadan negara selama sebulan bermula 8 Januari lalu akibat penularan COVID-19.

Sehubungan itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, jemaah terlibat diminta segera berhubung dengan Lembaga Tabung Haji (LTH) bagi memudahkan urusan bayaran pampasan dibuat.

"Mereka boleh terus hadir ke pejabat LTH terdekat dengan membawa dokumen yang berkaitan sebagai bukti pengesahan.

Pada masa sama, senarai penuh jemaah terlibat sedang dikenal pasti oleh pihak Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bersama kumpulan persatuan umrah," katanya pada Program Santuni Nelayan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijang, di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di sini.

Mengulas lanjut, beliau turut mengingatkan bakal jemaah yang akan menunaikan umrah bermula Selasa ini supaya sentiasa menitik beratkan aspek pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

Media Baharu