fb fb fb fb fb

Pameran LIMA kembali beraksi Mei depan

(Hishammuddin pada majlis Pra-Pelancaran LIMA 2023 hari ini)

KUALA LUMPUR, 8 Jun- Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2023 bakal membuka tirainya pada 23 Mei hingga 27 Mei tahun depan di Pulau Langkawi, Kedah.

Ini selepas penganjurannya pada 2021 terpaksa dibatalkan susulan penularan COVID-19.

Pameran terbesar seumpamanya di Asia Pasifik itu bakal menarik sekurang-kurangnya 600 pempamer dan melibatkan lebih 20 negara seluruh dunia.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata penganjuran acara dwi-tahunan itu sebagai bukti keseriusan negara dalam industri maritim dan aeroangkasa.

Selain bagi merancakkan perkembangan ekonomi negara.

"Sekarang ini sempadan telahpun dibuka dan usaha untuk merancakkan ekonomi kita dan sektor tertentu merupakan keutamaan kerajaan pada hari ini.

"Dan sebab itu beberapa industri dan rakan-rakan sejawatan kami dalam Kabinet akan kami libatkan bersama termasuk MITI, MOTAC dan pihak polis pun akan terlibat secara langsung," katanya.

(Hishammuddin)

Beliau menyatakan demikian dalam majlis Pra-Pelancaran Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi, LIMA 2023, di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong; Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

Bagi LIMA Edisi 2023, beberapa pembaharuan bakal disaksikan termasuk pengenalan segmen pertunjukan dan perlumbaan dron, segmen teknologi angkasa dan program menyeluruh untuk remaja.

Media Baharu