fb fb fb fb fb

1,364 sembuh COVID-19, ubat antiviral Paxlovid diperluas ke fasiliti swasta

(Paxlovid merupakan ubat antiviral oral pertama di Malaysia untuk merawat pesakit COVID-19 yang mengalami gejala ringan hingga sederhana ataupun kategori 2 dan 3/Foto fail)

KUALA LUMPUR, 8 Jun- Kesemua 1,364 pesakit COVID-19 yang diberi rawatan ubat antiviral Paxlovid hingga 5 Jun lalu telah sembuh sepenuhnya tanpa mengalami sebarang kesan sampingan teruk.

Ubat antiviral oral pertama di Malaysia itu mula digunakan di fasilti kesihatan Kementerian Kesihatan pada 15 April 2022 bagi merawat pesakit COVID-19 yg mengalami gejala ringan hingga sederhana ataupun kategori 2 dan 3.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dalam kenyataan media memaklumkan, keutamaan diberi kepada kumpulan pesakit berisiko tinggi.

Menurut beliau Paxlovid terbukti selamat dan berkesan serta dapat mengurangkan kesan teruk jangkitan dan kadar kematian pesakit COVID-19.

Berita berkaitan
Pemberian Paxlovid kepada pesakit COVID-19 diperluas
Paxlovid diyakini membantu kurangkan risiko kematian akibat COVID-19 - FDA
WHO syorkan Paxlovid sebagai pilihan terbaik pil antiviral COVID-19


"Bagi memastikan akses yang lebih baik kepada pesakit, rawatan menggunakan ubat Paxlovid ini akan diperluas ke fasiliti kesihatan swasta terpilih dalam waktu yang terdekat secara percuma.

"Walau bagaimanapun pesakit masih tertakluk pada caj khidmat rundingan dan caj-caj berkaitan yang ditentukan oleh fasiliti kesihatan swasta tersebut," kata Khairy.

"KKM juga akan memulakan rawatan ubat antibodi monoclonal Tixagevimab plus Cilgavimab (EVUSHELD) dalam waktu yang terdekat berikutan kemampuannya melindungi penerima daripada jangkitan COVID-19 untuk tempoh enam bulan selepas pemberian suntikan,"katanya dalam kenyataan itu.

Penilaian kelayakan pesakit untuk menerima ubat antibodi ini akan dilakukan oleh pakar perubatan yang merawat dan tertakluk pada kriteria tertentu.

"Dengan adanya ubat-ubatan serta kaedah rawatan yang sentiasa ditambah baik, KKM percaya dan yakin bahawa Malaysia kini berada di landasan yang terbaik untuk melalui Fasa Peralihan ke Endemik dengan berkesan dan selamat," tambahnya.

(Pil Paxlovid keluaran Pfizer/REUTERS)

 

Media Baharu