fb fb fb fb fb

Pertemuan PM-Bayrou buka lembaran baharu hubungan Malaysia-Perancis

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertemu rakan sejawatannya dari Perancis, François Bayrou. - Foto PMO

PARIS, 4 Julai - Pertemuan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan rakan sejawatannya dari Perancis, François Bayrou membuka lembaran baharu dalam hubungan Malaysia-Perancis.

Antara yang dibincangkan dalam pertemuan tersebut ialah kerjasama strategik, termasuk pelaburan bernilai tinggi seperti aeroangkasa, semikonduktor dan automotif, kerjasama tenaga bersih, pertahanan, serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Menurut Datuk Seri Anwar, Malaysia menghargai sokongan Perancis terhadap misi peralihan tenaga dan transformasi ekonomi negara menerusi penglibatan aktif syarikat seperti ENGIE, Total dan Thales.

Dalam pada itu, beliau turut menekankan kepentingan komitmen pihak Airbus terhadap penghantaran pesawat A330 Neo yang telah dipersetujui bersama Malaysia Aviation Group (MAG), bagi memastikan kelangsungan operasi dan pelaburan yang efisien.

Dalam memperkukuh hubungan industri penerbangan antara kedua-dua negara, Air Asia menunjukkan keyakinan terhadap teknologi Perancis dengan komitmennya memperoleh sejumlah pesawat Airbus.

Sebagai rakan perdagangan keempat terbesar Malaysia dalam Kesatuan Eropah (EU), Datuk Seri Anwar yakin hubungan ini terus berkembang ke arah pertumbuhan yang mampan dan masa depan yang lebih inklusif.

Bagi memperteguh hubungan erat kedua-dua negara, beliau mengundang Perdana Menteri Perancis itu untuk melakukan lawatan rasmi ke Malaysia.

MASNIZA AWANG KECHIK