KUANTAN, 28 Oktober - Kereta perisai 8x8 Gempita, Helikopter Agusta dan Kereta Kebal Pendekar antara aset utama pameran ketenteraan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam siri ke-12 Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) di perkarangan Stadium Darul Makmur, Kuantan.
Bertemakan 'Keluarga Malaysia, Teras Pertahanan Negara' jelajah kali ini mengenengahkan konsep pertahanan menyeluruh di mana penglibatan seluruh keluarga Malaysia adalah penting bagi memastikan kedaulatan negara terjamin.
Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan (Mindef), Datuk Seri Muez Abd Aziz berkata selama tiga hari JAKM berlangsung, pengunjung berpeluang melihat sendiri aset ketenteraan serta memperoleh informasi terkini berkaitan ATM.
"Pada kali ini kami akan cuba menonjolkan beberapa aset utama, Gempita 8x8, kita ada GGK Mark 1, kita ada helikopter juga AW 109 dan beberapa senjata ringan lain yang digunakan oleh Angkatan Tentera Malaysia.
"Jadi, hadirlah beramai-ramai bagi mendapatkan pengetahuan kerana cogan kata Kementerian Pertahanan adalah pertahanan negara ini adalah tanggungjawab seluruh Keluarga Malaysia," katanya ketika ditemui selepas melakukan lawatan ke JAKM di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sultan Ahmad Shah (SASICC), di sini.
Tambah Muez, bersempena penganjuran jelajah JAKM itu juga, ATM turut menganjurkan karnival kerjaya jamin kerja dimana ATM menyediakan kaunter khas kepada pengunjung yang berminat menyertai tentera darat.