fb fb fb fb fb

Pameran ‘Fabrik ASEAN: Keabadian Tenunan’ cerminan persahabatan dan warisan serantau

Pameran Fabrik ASEAN / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 5 November - Pameran Fabrik ASEAN menjadi simbol perpaduan dan warisan seni tekstil serantau, menampilkan keindahan dan kehalusan budaya negara-negara ASEAN, bertemakan “Keabadian Tenunan” yang berlangsung di Dataran Muzium Negara.

Majlis perasmian disempurnakan Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, yang turut menyifatkan inisiatif itu sebagai platform memperkukuh semangat persahabatan dan kesepakatan budaya di rantau ini.

“Pameran ini bukan sekadar mempamerkan keindahan warisan tekstil Asia, tetapi memperkukuh hubungan budaya dan semangat kebersamaan antara negara-negara ASEAN,” katanya dalam ucapan perasmian di sini, hari ini.

Sementara itu, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, pameran tersebut merupakan antara pengisian bersempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, dengan penyertaan penuh semua negara anggota ASEAN.

“Lebih daripada 105 koleksi dipamerkan di sini dan kita harap ia dapat menarik minat pengunjung serta pelancong untuk mengenali keunikan tekstil serantau,” katanya dalam sidang media selepas majlis perasmian.

Beliau turut memaklumkan bahawa kemasukan adalah percuma, dengan sasaran kehadiran sekitar 20,000 pengunjung sepanjang tempoh pameran yang bermula Oktober lalu hingga 31 Disember 2025.

Pameran tersebut turut mengetengahkan kehalusan seni tenunan tradisional seperti songket, batik, dan ikat, yang bukan sahaja menjadi warisan turun-temurun tetapi juga simbol jati diri dan diplomasi budaya ASEAN.

MARDHIYAH MOHAMMED ZIN