fb fb fb fb fb

Pakej Keluarga Malaysia KL tingkatkan kualiti hidup, penyampaian dalam talian - PM

KUALA LUMPUR, 6 Februari - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Pakej Kesejahteraan Keluarga Malaysia Kuala Lumpur (PKKMKL) yang bakal meningkatkan kualiti kehidupan rakyat dan penyampaian perkhidmatan yang pantas secara dalam talian.

Beliau berkata, Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur (DBKL) sedang dan akan melaksanakan beberapa inisiatif bagi membolehkan warga kota mendapat kehidupan yang lebih selesa.

"DBKL akan membina 5,000 ‘council home’ untuk disewa kepada warga kota dengan keluasan minimum 750 kaki persegi.

"DBKL juga akan membuat pembaikan lif yang melibatkan 306 buah lif di 31 lokasi Projek Perumahan Rakyat/Perumahan Awam (PPR/PA) dan akan dilaksanakan dalam tempoh dua tahun," kata Ismail Sabri ketika berucap dalam Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-50 Bandar Raya Kuala Lumpur, di sini.

Beliau berkata bagi meningkatkan penyampaian perkhidmatan yang pantas, urusan secara dalam talian akan diperkemas.

"Kelulusan lesen premis perniagaan dalam tempoh 24 jam. Permohonan permit pembinaan bagi pembangunan berskala kecil dan keputusan permohonan boleh diperoleh dalam tempoh tiga hari sahaja.

"Sebagai insentif untuk menggalakkan warga kota melakukan urusan secara dalam talian, pembayaran yang melibatkan semua fi permohonan, akan diberikan rebat 10% sepanjang tahun 2022," katanya.

Media Baharu