PASIR PUTEH, 5 Februari - 'Jangan bermain dengan isu makanan asasi dalam negara'.
Itu peringatan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh kepada pemain industri makanan asas negara susulan bekalan telur ayam di semua kawasan berkurangan sejak dua minggu lalu mengundang kebimbangan pengguna.
Jelasnya, kerajaan akan cuba menyelesaikan perkara itu secepat mungkin.
"Kita akan cuba selesaikan perkara ini dan berharap agar pemain industri tidak mencatut perjalanan ayam sehingga harganya dan telur di pasaran terumbang ambing. Jangan ada penggiat industri yang cuba 'bermain di luar padang', nak menaikkan harga atau mengurangkan bekalan," katanya.
Beliau ditemui selepas merasmikan majlis pelancaran Jersi, Pengenalan Pemain dan Penaja Tok Janggut Warriors Football Club (TJWFC) di Jeram Mengaji, di sini hari ini.
Setakat ini, pihaknya sudah mempunyai perancangan jangka pendek dengan meluluskan lesen import atau permit yang membolehkan individu atau syarikat tertentu mengimport ayam.
Untuk jangka panjang pula, kerajaan akan mengendalikan sendiri penternakan ayam di negara ini.