fb fb fb fb fb

'Pakat mari' ke Jelajah AKM Kelantan hari ini hingga Ahad

KOTA BHARU, 22 Julai- Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) bermula hari ini hingga Ahad bakal memanfaatkan Keluarga Malaysia di Kelantan dengan pelbagai program rakyat dan digitalisasi selaras dengan hasrat kerajaan dalam usaha memantapkan pendigitalan negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijadual merasmikan Jelajah AKM esok di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini yang bertemakan Keluarga Malaysia Keluarga Digital.

Menerusi pengisian program daripada 26 kementerian yang disediakan, warga Kelantan yang datang sepanjang tiga hari program jelajah pasti tidak akan pulang dengan tangan kosong.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa yang juga penyelaras AKM Kelantan, ketika ditemu bual baru-baru ini berkata siri jelajah edisi keenam itu bertujuan membawa perkhidmatan kerajaan kepada rakyat supaya slogan Keluarga Malaysia benar-benar difahami segenap lapisan masyarakat.

Ahli Parlimen Ketereh itu berkata seramai 50,000 pengunjung dijangka hadir memeriahkan Jelajah AKM di negeri itu.

Tiga komponen utama yang akan dibawakan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) selaku kementerian peneraju kali ini ialah aktiviti di reruai, reruai khusus untuk perkhidmatan telekomunikasi (Karnival Digital K-KOMM@JAKM) dan program seni budaya yang dinamakan RIUH x JAKM Kelantan yang menganjurkan pelbagai bengkel seni dan persembahan kebudayaan.

Turut diadakan program Bicara Ulama Nusantara dan pertandingan Muay Thai antarabangsa.

Program ‘bekwoh’ (kenduri secara besar-besaran) dengan aktiviti memasak beramai-ramai bagi meraikan kedatangan Perdana Menteri juga diadakan yang akan merapatkan lagi hubungan Keluarga Malaysia.

Selain itu Digital Hub Ketereh juga menyediakan program dan latihan yang komprehensif termasuk latihan penghasilan dan mengedit kandungan kepada peniaga supaya mereka dapat mengoptimumkan jualan dalam talian.

Program bekwoh dan latihan itu akan diadakan di Kompleks Kemiskinan Kelantan (YKK), Melor, dekat sini.

(Foto fail)

Selain itu hampir 4,000 peluang pekerjaan akan ditawarkan oleh 28 majikan menerusi Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia.

Rakyat negeri Cik Siti Wan Kembang yang datang sepanjang tiga hari AKM Kelantan turut berpeluang untuk lebih mengenali Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) menerusi Kempen Jom Kenali Bernama.

Kempen Jom Kenali Bernama yang berlangsung bersempena program AKM ini bertujuan membawa jenama identiti Bernama sebagai sumber berita yang diyakini, selain sumber berita bagi media yang lain.

Sebelum ini Jelajah AKM diadakan di Johor, Perlis, Sabah, Terengganu dan Perak.

Jelajah AKM merupakan kesinambungan kepada kejayaan dan sambutan memberangsangkan Program 100 Hari AKM di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Disember lepas dengan objektif memastikan rakyat di semua peringkat memahami dan menghayati aspirasi Keluarga Malaysia. -BERNAMA

Media Baharu