fb fb fb fb fb

Paip pecah punca tanah mendap di Jalan Sultan Ismail - Bomba

Tinjuan RTM mendapati kerja-kerja pembaikan paip bocor sedang giat dijalankan di lokasi kejadian di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR, 23 September- Kejadian tanah mendap di laluan jalan raya dekat Jalan Sultan Ismail di sini yang tular di media sosial berpunca daripada paip bawah tanah yang pecah di kawasan itu awal pagi tadi.

Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur Penguasa Bomba Kanan (PBK) I Mohd Rozihafizam Othman berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 5.04 pagi sebelum mengerahkan 13 anggota serta pegawai ke lokasi kejadian.

"Setibanya pasukan bomba di tempat berkenaan mendapati terdapat kebocoran melibatkan paip bawah tanah milik pihak Air Selangor (Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd) hingga berlaku limpahan air dan jalan raya mendap di beberapa kawasan berhampiran paip tersebut.

"Kerja-kerja pembaikan paip yang bocor diserahkan kepada pihak Air Selangor untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi hantaran di Facebook memaklumkan kerja baik pulih jalan tersebut sedang giat dijalankan pihak Air Selangor.

"Bagi kerja-kerja baik pulih jalan yang tidak rata akibat tekanan daripada air, ia akan bermula pada 8.00 malam ini dan dijangka siap sepenuhnya pada 5.00 pagi keesokan harinya," menurut kenyataan itu.

Terdahulu tular di laman sosial video berdurasi 10 saat memaparkan keadaan jalan mendap di Jalan Sultan Ismail, di sini.

SITI AISHAH MD ISA