fb fb fb fb fb

Pahang tawar skim i-PUSH, bantu usahawan terkesan teruskan aktiviti perniagaan

KUANTAN, 29 Mac- Kerajaan Pahang memperkenal Skim Pembiayaan Kewangan Usahawan Mikro Negeri Pahang (i-PUSH) dengan peruntukan sebanyak RM20 juta.

Skim pinjaman tanpa faedah selama 5 tahun itu, dijangka akan memanfaatkan 2,500 peniaga yang terkesan akibat penularan COVID-19 di negeri terbabit.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata permohonan bagi skim itu boleh dibuka dalam tempoh sebulan bermula 1 April sehingga 30 April depan.

“Kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM20 juta bagi tujuan pembiayaan skim ini atau lebih kita kenali sebagai i-PUSH dan kita menawarkan pinjaman ini antara RM3,000 ke RM10,000 dan bagi tempoh setahun pertama kita kenakan moratorium."

"Tidak perlu ada apa-apa pembayaran, selepas itu baru buat pembayaran. Jadi tujuannya adalah supaya mereka yang terkesan akibat pandemik ini akan dapat memulakan perniagaan mereka semula," kata Wan Rosdy dalam sidang media pembukaan permohonan i-PUSH di Wisma Sri Pahang, di sini.


(Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail ditemui dalam sidang media majlis
pembukaan permohonan i-PUSH di Wisma Sri Pahang)

Bagi tujuan itu, kerajaan negeri menjalin kerjasama dengan bank tempatan sebagai badan pelaksana.

"i-PUSH merupakan salah satu inisiatif kerajaan negeri yang telah dibentang dalam Belanjawan 2022 Negeri Pahang," tambahnya.

Dalam pada itu, beliau tidak menolak kemungkinan untuk meneruskan skim terbabit namun bergantung kepada keperluan pada masa akan datang.

Pemohon boleh merujuk laman sesawang Sistem Maklumat Usahawan (SMU) Pahang sebagai panduan permohonan dan maklumat lanjut.

Media Baharu