fb fb fb fb fb

Pahang dalam perbincangan gubal RUU Anti Lompat Parti - MB

FOTO BERNAMA

LIPIS, 19 Oktober- Kerajaan negeri Pahang kini dalam peringkat perbincangan untuk menggubal Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti dalam kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi negeri itu.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata perbincangan tersebut perlu dilakukan kerana kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak memiliki majoriti dua pertiga di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Kita sekarang ini dalam peringkat perbincangan sebab kita perlukan dua pertiga sokongan daripada ahli mesyuarat.

Oleh sebab kerajaan negeri Pahang tidak ada dua pertiga sokongan, kita menunggu maklum balas daripada wakil parti Perikatan Nasional (PN)," kata Wan Rosdy kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia Peringkat Pahang 2023, di sini.


(Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail/BERNAMA)

Jelas Wan Rosdy, sekiranya akta itu tidak mendapat sokongan namun ia akan secara automatik dilaksana kerana mengikut keputusan kerajaan Persekutuan.

Dalam pada itu, Datuk Seri Wan Rosdy berkata beliau belum memikirkan untuk melantik ADUN Pelangai, Datuk Amizar Abu Adam yang baharu memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, bagi menggantikan Allahyarham Datuk Seri Johari Harun.

Buat masa ini, portfolio kerajaan tempatan dan perumahan, diserahkan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Zulkifli Yaacob, portfolio alam sekitar diserahkan kepada ADUN Bebar, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff manakala ADUN Peramu Jaya, Datuk Mohamad Nizar Mohamad Najib, bertanggungjawab terhadap teknologi hijau.

Media Baharu