KODIANG, 19 Oktober - Seekor ular sawa batik seberat 140 kilogram berjaya ditangkap Angkatan Pertahanan Awam (APM) di kandang Kampung Batu Hitam, di sini pagi tadi.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kubang Pasu, Kapten (PA) Mohd Adenin Suhaimi berkata seramai empat anggota APM Kubang Pasu telah digerakkan ke lokasi kejadian selepas dimaklumkan Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD).

"Reptilia sepanjang tujuh meter itu kelihatan lemah selepas menelan seekor kambing di sebuah kandang di Batu 7, Kampung Batu Hitam. Anggota terpaksa mengambil masa hampir 25 minit untuk menangkap ular tersebut," katanya menerusi kenyataan.
Kata Adenin, ular sawa batik itu kemudiannya diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara PERHILITAN untuk tindakan lanjut.