(Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong berkenan berangkat ke Istiadat
Pengurniaan Darjah Kepahlawanan Angkatan Tentera (DKAT) di Istana Negara/BERNAMA)
KUALA LUMPUR, 19 Oktober - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mencemar duli ke Istiadat Pengurniaan Darjah Kepahlawanan Angkatan Tentera (DKAT) 2023 sesi kedua di Balairung Seri, Istana Negara hari ini.
Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berangkat mengiringi Seri Paduka ke istiadat pengurniaan darjah ini.
Istiadat kali ini menyaksikan dua pegawai tentera asing dikurniakan Darjah Panglima Gagah Angkatan Tentera (PGAT) Kehormat mendahului senarai 292 penerima pingat.
(Al-Sultan Abdullah berkenan bergambar bersama penerima selepas menyempurnakan Istiadat Pengurniaan Darjah Kepahlawanan Angkatan Tentera (DKAT)/BERNAMA)
Penerima tersebut ialah Ketua Marsyal Udara TNI Fadjar Prasetyo dari Indonesia dan Mejar Jeneral Kelvin Khong dari Singapura.
Seri Paduka Baginda turut berkenan mengurniakan Darjah Panglima Setia Angkatan Tentera (PSAT) kepada 9 penerima, Pahlawan Angkatan Tentera (PAT) 42 penerima, Kesatria Angkatan Tentera (KAT) 115 penerima dan Bentara Angkatan Tentera (BAT) 126 penerima.
Penganugerahan Pingat DKAT diberikan kepada pegawai dan anggota lain-lain pangkat yang berkelayakkan atas jasa dan pengorbanan yang dicurahkan dalam perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Turut hadir ke istiadat ini ialah Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Seri Isham Ishak.