JOHOR BAHRU, 19 Oktober - Kerajaan Johor bakal memberikan perhatian terhadap pelaksanaan projek sedia ada melibatkan Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB).
Ini berikutan terdapat pertambahan jumlah pengguna setiap hari bagi kedua-dua hala Malaysia-Singapura.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata sehingga September jumlah pengguna di kedua-dua premis itu adalah melebihi 98 juta dengan jangkaan meningkat sehingga 136 juta pada penghujung tahun ini.

"Antara projek sedi ada yang akan diberikan perhatian di BSI adalah projek ubah suai dewan penumpang, penambahan 36 unit e-gate, penambahan 44 Mbike dan kerja-kerja pemasangan bumbung di laluan MBike.
"Manakala di KSAB, projek yang akan diberikan perhatian adalah laluan kontra kereta, penggantian dan penambahan Papan Tanda Elektronik (VMAS), projek tambahan 33 MBike dan Booth Penyelia Jabatan Imigresen," katanya menerusi hantaran di Facebook.
Tambah Onn Hafiz, latihan laluan kontra di BSI baru-baru ini berjalan lancar dan akan memberi impak kelancaran laluan keluar masuk Malaysia–Singapura.
Datuk Onn Hafiz bersama EXCO Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur, Mohamad Fazli Mohd Salleh sebelum itu menghadiri mesyuarat jawatankuasa pembangunan dan projek sedia ada di BSI dan KSAB.