fb fb fb fb fb

Pahang catat penurunan pengangguran, TVET terus diperkukuh

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail

PUTRAJAYA, 24 November – Pahang mencatat perkembangan positif dalam pasaran pekerjaan apabila kadar pengangguran negeri menurun kepada 1.8 peratus tahun ini, berbanding 2.2 peratus pada 2024.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata penurunan itu berdasarkan data terkini Jabatan Perangkaan, yang menunjukkan lebih ramai rakyat negeri berjaya mendapat pekerjaan susulan pertumbuhan ekonomi dan peningkatan peluang industri.

“Pada tahun 2024, kadar pengangguran di Pahang ialah 2.2 peratus, bersamaan dengan 17,000 orang. Sehingga kini, kadar pengangguran telah turun kepada 1.8 peratus, iaitu kira-kira 14,000 orang.
Ini menunjukkan penurunan yang positif,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Hi-Tea Program Jaminan Kerjaya 2025 di sini, hari ini.

Menurutnya, peningkatan kadar kebolehpasaran buruh turut didorong oleh pertumbuhan KDNK negeri yang lebih tinggi berbanding paras nasional.

“Pertumbuhan KDNK kita melonjak kepada 5.7 peratus, melebihi paras nasional 5.1 peratus. Ini membuka ruang pelaburan baharu dan seterusnya mewujudkan peluang pekerjaan,” katanya.

Wan Rosdy berkata peningkatan pelaburan sejak 2018 juga memainkan peranan penting dalam membuka lebih banyak ruang pekerjaan.

“Jumlah pelaburan daripada 2018 hingga kini meningkat sebanyak RM13 bilion. Ini membantu mewujudkan peluang pekerjaan dan mengurangkan kadar pengangguran,” katanya

Beliau menambah pengukuhan sektor pelancongan turut memberi kesan positif kepada aktiviti ekonomi negeri.

“Sasaran kita ialah 15 juta pelancong, tetapi sehingga kini, pelancong yang datang ke Pahang melebihi 13 juta. Ini menunjukkan peningkatan yang sangat baik,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Menteri Besar menegaskan komitmen negeri untuk menjadikan TVET sebagai platform utama pembangunan bakat dan kerjaya.

“Kita mahu jadikan TVET sebagai pilihan utama rakyat Pahang dan juga rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau berkata laluan TVET menawarkan kelebihan luas, termasuk kemahiran berdikari.

“Jika pandai potong rambut, kita tidak perlu risau jika diberhentikan kerja. Jika dipecat pun, kita boleh bekerja sendiri,” katanya.

Wan Rosdy turut menyatakan keyakinan bahawa langkah memantapkan TVET, menarik pelaburan, dan meningkatkan prestasi ekonomi akan terus mengurangkan kadar pengangguran serta membantu Pahang meningkatkan daya saing pada masa depan.

AZRUL FAIZAL JUSOH