fb fb fb fb fb

Pahang berjaya menarik pelaburan bernilai RM500 juta dalam industri karavan

MARAN, 21 Mei - Pahang berjaya menarik pelaburan bernilai RM500 juta dalam industri karavan daripada Caravaning Industry Association (CIVD) yang berpangkalan di Jerman.

Projek julung kali diperkenalkan itu dijangka mula dilaksana akhir tahun ini.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, hasil sesi lawatan ke Frankfurt, Jerman, baru-baru ini, beliau optimis industri baharu yang akan dibawa masuk itu akan mendapat sambutan berikutan ia amat sesuai dengan tren terkini.


(Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail)

"Di mana suatu masa nanti kita dapati mungkin mereka-mereka yang bercuti tidak perlu menginap di hotel ataupun inap desa, mereka boleh menginap di dalam van tersebut di mana ada kemudahan.

"Ada bilik air, tempat memasak, ada katil dan sebagainya. tapi kita harus sediakan infrastruktur yang baik dan ini kita telah usahakan. kita telah panggil mesyuarat dan perbincangan dan Insha-Allah ianya akan menjadi kenyataan dalam masa sedikit masa lagi." kata Wan Rosdy ditemui media selepas Majlis Sambutan Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Sentul dan UMNO Maran di Felda Jengka 3, di sini.

Katanya, perancangan ini masih diperingkat awal. Justeru kajian yang lebih terperinci perlu dilakukan.

14 Mei lalu, kerajaan Pahang memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan CIVD bagi membangunkan industri pembuatan karavan di negeri ini.

MoU itu, merangkumi pelaksanaan pembinaan taman karavan, pusat pemasangan karavan, ekosistem pembuatan karavan, serta pusat bekalan karavan untuk pasaran Asia Pasifik dan Australia.

Majlis turut diserikan dengan keberangkatan Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Turut hadir, ADUN Kuala Sentul, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin yang juga Exco Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang.

Baginda turut berkenan mengurniakan duit raya kepada kanak-kanak yang hadir ke majlis itu.

Majlis yang berlangsung bermula pada pukul 8 malam itu, berlangsung meriah dengan pelbagai juadah istimewa disediakan kepada kira-kira 5,000 pengunjung yang hadir.

Media Baharu