fb fb fb fb fb

PADU jadi asas pelaksanaan subsidi bersasar RON95

Menteri Ekonomi merangkap Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan

KUALA LUMPUR, 4 Ogos – Kerajaan akan menggunakan sistem Pangkalan Data Utama (PADU) sebagai rujukan utama bagi pelaksanaan subsidi bersasar bahan api RON95 yang sedang diperhalus oleh Kementerian Kewangan.

Menteri Ekonomi merangkap Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, penggunaan data berpusat seperti PADU mampu meningkatkan ketepatan dalam mengenal pasti penerima yang benar-benar layak, sekali gus memastikan subsidi kerajaan disalurkan secara lebih adil dan berkesan.

"Pelaksanaan subsidi bersasar, PADU yang akan digunakan oleh Kementerian Kewangan akan menjadi rujukan kepada penerima subsidi RON95. Dengan ini saya rasa inilah permulaan, pertama yang betul-betul terperinci yang akan digunakan," katanya semasa persidangan Dewan Rakyat.

Menjawab soalan Ahli Parlimen Sri Gading, Aminolhuda Hassan, beliau menambah bahawa kerajaan amat menggalakkan semua agensi kerajaan menggunakan PADU sebagai langkah menambah baik dasar dan polisi sedia ada.

Setakat ini, sembilan agensi kerajaan telah pun diluluskan untuk mengakses data PADU bagi keperluan khas dan penyelarasan dasar masing-masing.

"Kerajaan amat menggalakkan penggunaan data PADU dalam kalangan agensi kerajaan sebagai salah satu usaha untuk meningkatkan kecekapan, keberkesanan penyampaian perkhidmatan," katanya.

Tambah beliau, pelaksanaan subsidi bersasar RON95 melalui PADU menandakan permulaan kepada pendekatan berasaskan data yang lebih menyeluruh dalam pengurusan bantuan kerajaan.

Sistem PADU kini mengandungi lebih 30 juta profil rakyat Malaysia dan pemastautin tetap, hasil integrasi data daripada lebih 200 agensi kerajaan yang merangkumi maklumat demografi, sosioekonomi, pendidikan, pendapatan dan status bantuan.

MASNIZA AWANG KECHIK