KUALA LUMPUR, 4 Ogos – Pangkalan Data Utama (PADU) menjadi sumber rujukan pusat kerajaan dalam merancang dan menilai dasar-dasar sosioekonomi negara dengan lebih berkesan, kata Menteri Ekonomi, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Sri Gading, Aminolhuda Hassan di Dewan Rakyat, beliau berkata, PADU membolehkan kerajaan membuat keputusan berdasarkan data yang lebih tepat dan terkini.
"Kerajaan membangunkan pangkalan data utama PADU untuk dijadikan sebagai sumber rujukan bagi perancangan dan penilaian dasar sosioekonomi berpandukan data. PADU merupakan satu repositori berpusat yang mengandungi profil individu dan isi rumah warganegara serta pemastautin tetap di Malaysia," jelas beliau.
Sehingga kini, sebanyak 204 agensi telah berkongsi data secara berterusan dengan PADU, merangkumi 30.4 juta profil individu.
Data itu merangkumi pelbagai maklumat seperti demografi, lokaliti, sosioekonomi, pendidikan, pendapatan, pekerjaan, pemilikan kenderaan, status kemiskinan dan jenis bantuan yang diterima.
Amir Hamzah yang juga Menteri Kewangan II berkata, PADU akan turut digunakan sebagai rujukan utama dalam pelaksanaan mekanisme penyasaran semula subsidi RON95 yang sedang diperhalus oleh Kementerian Kewangan.
"Sistem PADU telah dibangunkan sepenuhnya dengan menggunakan kepakaran penjawat awam. Oleh itu, pembangunan dan pelaksanaan sistem ini mematuhi akta, arahan dan pekeliling yang sedia berkuat kuasa," ujarnya lagi.
Beliau turut menegaskan bahawa PADU telah melalui pelbagai proses penilaian dalaman dan luaran, termasuk naziran keselamatan oleh Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan (CGSO) bagi memastikan pematuhan terhadap aspek keselamatan data.
Langkah itu selaras dengan usaha kerajaan memperkukuh dasar berpaksikan rakyat melalui pendekatan digital dan berasaskan data yang menyeluruh.