fb fb fb fb fb

5.05 juta hektar kawasan tanaman sawit di Malaysia disahkan bawah pensijilan MSPO

Datuk Chan Foong Hin/ BERNAMA

MELAKA, 4 Ogos - Sebanyak 5.03 juta hektar atau 89.6 peratus kawasan tanaman sawit di Malaysia telah disahkan bawah pensijilan Malaysian Sustainable Palm Oil (MSPO), setakat 30 Jun lalu.

Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Chan Foong Hin berkata, pencapaian itu menunjukkan komitmen berterusan industri sawit negara dalam memastikan pematuhan kepada amalan perladangan mampan selaras dengan piawaian yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

"Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) melalui inisiatif MSPO telah mengariskan piawaian ketat bagi memastikan syarikat-syarikat perladangan sawit dan pekebun kecil tidak terbabit dalam amalan buruh paksa.

"Mengikut data terkini setakat 30 Jun tahun ini sebanyak 89.6 peratus atau 5.03 hektar kawasan tanam sawit di Malaysia ini telah disijilkan MSPO," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Program 'Know Your Rights, Do It Right' Siri 1/2025 di Bandaraya Melaka.

Dalam pada itu, Chan berkata program berkenaan dilaksanakan KPK bagi membolehkan pihak industri sektor agrikomoditi mendapat maklumat jelas dan tepat berhubung isu perburuhan sektor perladangan yang melibatkan tenaga kerja asing.

Ketika ini, lebih 75 peratus daripada kira-kira 280,000 pekerja ladang sawit melibatkan tenaga kerja asing dengan Indonesia merupakan penyumbang utama diikuti Bangladesh, India dan Nepal.

Ia sekali gus mewujudkan pelbagai isu serta risiko termasuklah peluang eksploitasi dan buruh paksa disebabkan sistem pengambilan pekerja yang tidak telus dan sekatan perdagangan oleh negara luar seperti Amerika Syarikat sekiranya wujud bukti amalan buruh paksa dalam rantaian bekalan.

Program itu memastikan majikan di sektor perladangan mematuhi undang-undang perburuhan bawah Seksyen 60K Akta Kerja 1955 serta memastikan pematuhan kepada amalan perladangan mampan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI