fb fb fb fb fb

'PADU HOUR' dilaksana secara berkala, melibatkan lebih 1,000 kaunter di seluruh negara

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin

KUALA LUMPUR, 18 Januari- Pelaksanaan 'PADU HOUR' dapat meningkatkan keyakinan rakyat terhadap keselamatan data dikongsikan melalui sistem Pangkalan Data Utama (PADU).

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, inisiatif terbaharu itu akan diadakan secara berkala, membabitkan lebih 1,000 kaunter di seluruh negara.

Beliau berkata inisiatif itu bertujuan memperkasa kefahaman dan kesedaran orang ramai mengenai PADU, dibantu petugas Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

"Ini dapat membantu meningkatkan kadar pendaftaran harian dalam sistem PADU. Menjadi lumrah orang Malaysia ini suka juga personal touch, ada penerangan dan mereka kadang-kadang lebih selesa bila mereka berada di Pusat Ekonomi Digital (PEDi) atau anggota-anggota Jabatan Perangkaan Malaysia yang membantu dan ini memang kita nampak, perlu kita santuni", katanya kepada RTM selepas membuat tinjauan penganjuran pertama inisiatif 'PADU HOUR' di UTC Keramat.

Tambahnya, sesi kedua 'PADU HOUR' dijadual akan diadakan pada 22 Januari ini.

Bagi menggalakkan jumlah pendaftaran PADU, Jabatan Perangkaan Malaysia berhasrat untuk menambah kaunter di kawasan tumpuan komuniti, termasuk rumah ibadat dan kawasan industri.

ROSLINA BINTI DIN