fb fb fb fb fb

PADU bukan bahan kempen, data rakyat tidak akan disalahguna - Fahmi

Foto Hiasan / Bernama

KUALA LUMPUR, 6 Januari - Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) bukan bahan kempen kerajaan untuk Pilihan Raya Umum ke-16.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menegaskan kerajaan mempunyai cara kempen tersendiri dan tidak akan menyalahgunakan data yang terdapat dalam sistem tersebut.

Beliau berkata, PADU merupakan sistem yang membolehkan maklumat dikemas kini secara masa nyata, sekali gus memudahkan permohonan dan penerimaan bantuan atau subsidi kepada golongan sasar.

"Manfaat utama PADU kepada golongan yang memerlukan bantuan, sokongan dan akan diberikan bantuan subsidi dan sebagainya. itulah fungsi utama bukan untuk berkempen," katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau Program Jualan Termurah, Berkhidmat Untuk Rakyat di kawasan Program Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi, di sini anjuran Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lembah Pantai.

Dalam pada itu, Fahmi berkata pasukan Pusat Ekonomi Digital (PEDi) dan Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) akan digerakkan bagi membantu pendaftaran dan pengemaskinian PADU.

Ini bagi membantu mencapai sasaran 29 juta pendaftaran PADU menjelang 31 Mac depan.

"Kita boleh kerahkan jentera-jentera ini untuk bantu komuniti. Saya lihat mungkin perlu ada sesi pendidikan atau latihan yang boleh diberikan, tempohnya baharu sahaja seminggu dibuka," katanya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN