Kerajaan lulus RM1.29 juta kepada Institusi Pendidikan Islam Melaka

Perdana Menteri menyampaikan peruntukan RM1.29 juta bagi kerja pembaikan kecil Institusi Pendidikan Islam di Melaka/Foto PMO

MASJID TANAH, 7 Ogos – Kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM1.29 juta kepada 13 Institusi Pendidikan Islam (IPI) di Melaka.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan meluluskan peruntukan kepada institusi pendidikan Islam di Melaka untuk penyelenggaraan dan baik pulih infrastruktur asas.
  • Perdana Menteri menyeru pelajar menjaga akidah, akhlak, sahsiah dan hubungan harmonis bagi menjadikan Melaka negeri contoh aman.
  • Kerajaan MADANI komited memperkasa IPI meneruskan bantuan berterusan; bantuan untuk sekolah vernakular akan diumumkan dalam masa terdekat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan itu bagi membiayai projek penyelenggaraan dan baik pulih infrastruktur asas institusi berkenaan sekali gus memperkukuh pembangunan pendidikan agama serta kebajikan pelajar di Melaka.

“Belajar rajin-rajin. Jaga akidah, akhlak, dan sahsiah. Jaga juga hubungan dengan keluarga, kawan-kawan, jiran-jiran, serta orang Islam mahupun bukan Islam, supaya Melaka ini boleh jadi negeri contoh yang aman,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama pada Majlis Perasmian Karnival Gelombang MADANI di sini, hari ini yang turut menyaksikan peruntukan itu diserahkan bersama Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Pada masa sama institusi pendidikan lain tidak akan dipinggirkan, dengan bantuan kepada sekolah vernakular turut akan diumumkan dalam tempoh dua minggu lagi.

Turut hadir isteri Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abd Halim.

Dalam pada itu, Kerajaan MADANI terus komited memperkasa institusi pendidikan Islam dengan meneruskan inisiatif menyalurkan bantuan secara berterusan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.