fb fb fb fb fb

Padah keluar kata kesat, pegawai imigresen ditukar bahagian

(Pegawai imigresen diprovok oleh seorang lelaki berusia 50an ketika membuat pasport
di kaunter Imigresen Pusat Transformasi Bandar (UTC) , Seksyen 14, Shah Alam/FOTO media sosial)

KUALA LUMPUR, 21 Ogos - Seorang pegawai Jabatan Imigresen (JIM) yang didakwa mengeluarkan kata-kata kesat kepada orang awam dalam video tular baru-baru ini, telah ditukarkan ke bahagian lain, kata Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud.

Meskipun hasil siasatan awal mendapati terdapat unsur provokasi daripada orang awam, namun pihaknya memandang serius tindakan pegawai tersebut yang dipercayai kejadian berlaku di Shah Alam, Selangor.

“Bagaimanapun tindakan diambil pegawai terlibat, bertentangan slogan jabatan iaitu “Integriti, Professional, Mesra”.

"Selain itu, adalah diakui bahawa menjerit dan mengeluarkan kata kesat terhadap orang awam tidak sepatutnya dilakukan seseorang pegawai imigresen, yang merupakan penjawat awam,” katanya menerusi kenyataan hari ini.



Sebelum ini tular di media sosial, video berdurasi 26 saat apabila seorang lelaki berusia 50an berang kerana tidak mendapat layanan sewajarnya ketika membuat pasport di kaunter Imigresen Pusat Transformasi Bandar (UTC) , Seksyen 14, Shah Alam.

Khairul berpendapat pegawai imigresen seharusnya lebih bijak mengawal diri dan mengambil sikap professional, apabila berdepan provokasi lisan oleh orang awam kerana mereka telah diberi latihan dan tunjuk ajar mencukupi.

"Pelbagai kemudahan disediakan untuk orang ramai memperbaharui pasport mereka seperti permohonan atas talian dan pemanjangan waktu operasi termasuk Sabtu dan Ahad.

"Justeru, JIM menasihatkan orang ramai supaya sentiasa merujuk laman sosial jabatan ini untuk maklumat terkini. JIM ingin menegaskan bahawa tiada kompromi terhadap pegawai yang bersikap tidak profesional dan dalam masa yang sama jabatan ini juga akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana pihak yang cuba memburukkan imej dan kredibiliti jabatan ini," katanya.

Media Baharu