BAYAN LEPAS, 14 Februari- Kajian menyeluruh akan dilaksanakan sepenuhnya untuk menangani isu peningkatan premium insurans untuk hospital swasta.
Ke arah itu, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan mengadakan perjumpaan dengan semua lapisan masyarakat bagi mencari penyelesaian dalam isu berkenaan.
Jelas anggota PAC, Sim Tze Tsin yang juga Ahli Parlimen Bayan Baru, peningkatan premium insurans diramal akan menghimpit rakyat secara berterusan jika tidak menemui jalan penyelesaian.
"Saya mahu kongsikan sebenarnya 50% of populasi rakyat Malaysia memiliki polisi insurans, walaupun ada daripada golongan B40, mereka susah tetapi mereka tetap memiliki insurans.
"Oleh yang demikian, semua adalah terkesan, daripada T20 sampai ke B40 memerlukan satu penyelesaian kepada kenaikan harga insurans dan juga hospital swasta," katanya kepada pemberita selepas sesi pandangan awam diadakan di Bayan Baru bersama Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara.
Hadir sama ialah pengerusi jawatankuasa tersebut, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin.
Sebelum ini, beberapa pihak termasuk hospital swasta mencadangkan agar premium insurans dinaikkan untuk menampung perbelanjaan yang meningkat dan sehubungan itu, pemegang polisi insurans berdepan kesulitan untuk menerima cadangan tersebut.