LABUAN, 12 Ogos - Program 'Open-Source Intelligence' (OSINT) atau risikan sumber terbuka yang julung kali diadakan di Borneo, merupakan kemahiran era digital yang cuba diterapkan Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (MCMC) kepada agensi penguatkuasaan di seluruh negara.
Siri kedua yang berlangsung di Labuan itu disertai 40 pegawai pelbagai agensi penguat kuasa sebagai sebahagian daripada usaha berterusan agensi itu untuk memperkukuh keupayaan menangani cabaran keselamatan siber, isu kandungan tidak wajar dan pelbagai bentuk pelanggaran undang-undang bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Akta-Akta lain yang berkaitan.
Pengarah MCMC Wilayah Persekutuan, Faisal Hamdi Mohammed Ghouth berkata, dengan latihan selama tiga hari, peserta diharap mampu bertindak lebih proaktif, pantas dan tepat serta mampu melaksanakan pemprofilan (profiling) sendiri dengan berkesan.
"Kami dapati kes-kes untuk alam maya ini terutamanya kes scam yang melibatkan pelaburan atas talian amat tinggi berbanding dengan jenayah fizikal sendiri di Labuan ini.
"Jadi, ini amat membimbangkan dan itulah antara sebab kenapa kami datang untuk membuat kursus ini agar kita sama-sama, cuba untuk mengurangkan kadar jenayah atas talian ini dengan memberikan latihan agar mereka dapat sendiri untuk mengesan semua pelaku-pelaku salah alam siber ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program 'Open-Source Intelligence' (OSINT) di sini.
Tambahnya, untuk sebarang aduan penipuan dalam talian, pengguna boleh hubungi nombor kecemasan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di nombor 997, untuk membolehkan tindakan segera diambil, seperti menyekat transaksi mencurigakan.
Program dirasmikan Pengarah Kanan, Pejabat Wilayah Tengah MCMC, Mohamad Rizal Ahmad.