TAIPING, 12 Ogos - Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak mengesahkan aduan penduduk Taman Tekah Permai, Taiping, mengenai pencemaran habuk hitam adalah berasas.
Pengarah JAS Perak Datuk Dr. Mohammad Ezanni Mat Salleh berkata, siasatan sejak seminggu lalu melibatkan lebih 20 premis, termasuk sebuah kilang yang disyaki gagal mengoperasikan alat kawalan pencemaran.
Berdasarkan analisis pemantauan udara dari 6 hingga 11 Ogos, dua jenis gas dikesan dominan iaitu acetylene dan hydrogen cyanide.
"Cerapan data tertinggi yang dicatatkan pada 7 Ogos 2025, pukul 10.00 pagi adalah 134.544 µm³ bagi parameter PM10 iaitu melebihi 100 µm³ yang digariskan, dan 90.23 µm³ bagi parameter PM2.5, melibatkan standard kualiti udara iaitu 35 µm³ yang digariskan," katanya kepada pemberita di sini.
Sampel habuk telah dihantar ke Jabatan Kimia Putrajaya dan keputusan dijangka diketahui selewat-lewatnya Rabu ini.
Sekiranya padanan habuk disahkan, tindakan tegas akan diambil bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Pindaan) 2024, termasuk penutupan kilang sehingga jaminan diberi bahawa pelepasan dapat dihentikan.
Selain itu, laporan polis juga akan dibuat bagi membolehkan pendakwaan terhadap pihak terlibat.
Pencemaran itu dilaporkan menjejaskan lebih 100 rumah di Taman Tekah Damai, Tekah Permai dan Tekah Jaya.
Pemantauan udara akan diteruskan, dan penduduk dinasihat memakai pelitup muka serta segera membuat laporan jika kejadian berulang.