fb fb fb fb fb

PUSPEN bakal transformasi latihan ke arah TVET, pastikan peluang kerja

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

DENGKIL, 12 Ogos – Semua Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) di seluruh negara disaran melakukan transformasi modul latihan sedia ada kepada pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional (TVET) bagi membolehkan klien memiliki kemahiran bernilai tinggi dan berdaya saing di pasaran kerja.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata langkah itu penting agar mereka yang menamatkan tempoh pemulihan dapat membina masa depan lebih baik, sekali gus mengelakkan pengulangan masalah penagihan.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara memberi jaminan akan membantu Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan PUSPEN dalam membangunkan modul baharu itu, termasuk bekerjasama dengan agensi latihan, syarikat swasta serta penyedia peluang pekerjaan bagi memastikan klien yang tamat latihan memperoleh pekerjaan setimpal dengan kemahiran mereka.

“Marilah bekerjasama dengan Majlis TVET Negara untuk kita buat modul baru supaya apabila mereka tamat latihan di sini, mereka akan dijamin pekerjaan di dalam bidang yang profesional dan mereka akan dapat masa depan yang lebih baik,” katanya ketika lawatan kerja ke PUSPEN Dengkil, hari ini.

Ahmad Zahid turut mencadangkan agar modul baharu itu merangkumi bidang berpotensi tinggi seperti teknologi, keusahawanan, dan industri bernilai tambah, di samping memanfaatkan peralatan yang disumbangkan pihak swasta atau pengusaha gimnasium untuk aktiviti kesihatan dan rekreasi.

Beliau menegaskan proses pemulihan bukan sekadar menyediakan latihan kemahiran, tetapi turut memerlukan sokongan menyeluruh daripada keluarga, komuniti dan sektor swasta bagi memecahkan tembok stigma terhadap bekas klien PUSPEN.

Katanya, peluang kedua yang diberikan kepada mereka bukan sahaja mampu mengubah hidup individu terlibat, malah dapat menambah tenaga kerja produktif kepada negara.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN