KUALA LUMPUR, 11 November - Organisasi sektor awam selaku jentera yang menyokong agenda kerajaan perlu memperkasakan penyampaian perkhidmatan secara telus, cekap dan mesra rakyat dari semasa ke semasa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia bagi memastikan negara dan rakyat dapat menikmati keharmonian dan kemakmuran berterusan.
"Kerajaan Madani pada hari ini menekankan kemampanan dan kesejahteraan manusia secara holistik supaya dasar kerajaan dan pelaksanaannya memberi manfaat kepada rakyat.
"Ini kerana kita berdepan dengan dunia yang masih bergelut dengan adu kuasa dan peperangan, kerancakan perdagangan ekonomi sejagat yang terbantut dan krisis iklim serta persekitaran yang berada di tahap genting," kata Anwar dalam teks ucapan perasmian Majlis Anugerah Kecemerlangan Menteri Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) 2023, di sini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof yang mewakili beliau merasmikan majlis itu.
Turut hadir Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dan Timbalannya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.
Tambah Anwar, sebagai jentera kerajaan yang bertanggungjawab dalam penyampaian perkhidmatan awam cemerlang, semua kakitangan organisasi sektor itu perlu berfungsi secara tuntas.