KUALA LUMPUR, 7 Mac- Pendapatan melalui iklan dalam industri media konvensional ketika ini menurun kerana ia lebih tertumpu dan fokus kepada platform media digital.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata organisasi media perlu teliti, mencari kesesuaian dan membuat penyelarasan semula bagi memastikan keseimbangan kedua-dua platform tersebut.
(Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil)
"Bila melihat ruang lingkup bagi banyak daripada organissai media di Malaysia cabaran yang dihadapi perniagaan modal sangat mencabar. Saya telah bertemu dan berbincang dengan pelbagai pihak, ini satu isu yang besar kerana kita lihat terutama dari segi pengiklanan, yang dulu banyak membantu untuk operasi syarikat media, sekarang ini semakin mengucup dan beralih ke platform digital," katanya selepas melawat reruai di Simposium Penyiaran Digital Asia Pacific Broadcasting Union (ABU) 2023 di ibu negara hari ini.
Menurutnya lagi, banyak akta dan undang-undang sedia ada mungkin perlu diteliti, dan ditambah baik.
"Mungkin ada yang kita perlu pinda, contohnya, Akta Komunikasi dan Multimedia, Akta Finas, lain-lain akta yang bersesuaian kerana peredaran zaman.
"Cara kita melihat, konsep sesebuah intipati mahupun kandungan itu pun kita perlu terjemahkan dalam undang-undang. Dulu ketika banyak akta ini digubal, waktu itu kita tidak bercakap tentang isi kandungannya tetapi sekarang, inilah realitinya, dan kita kena pastikan ada beberapa aspek iaitu kesalamatan awam, aspek kebebasan bersuara, aspek kebebasan media," katanya.
Simposium ini berlangsung dari 6 sehingga 9 Mac di sebuah hotel terkemuka di ibu negara.
Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia, Suhaimi Sulaiman dan perwakilan dari 53 negara yang mewakili 225 organisasi.