(Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah)
KUALA LUMPUR, 7 Mac- Jumlah kemasukan pesakit COVID-19 ke hospital awam bagi setiap 100,000 populasi berdasarkan kategori pada Minggu Epidemiologi kesembilan 2023 (ME 9/2023) berbanding ME 8/2023 meningkat 33% bagi kategori satu hingga lima.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata perbandingan kes baharu, kes sembuh dan kes kematian COVID-19 antara ME 8/2023 dan ME 9/2023 (26 Feb hingga 4 Mac) menunjukkan bilangan kes baharu meningkat 5.2% iaitu daripada 1,367 kepada 1,438 kes, bilangan kes sembuh menurun 8.8% (1,497 kepada 1,365 kes) dan bilangan kes kematian meningkat 300% (dua kepada lapan kes).
“Bagi kes positif COVID-19 yang dipantau Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) di seluruh negara pula menunjukkan penurunan dan perbandingan data CAC fizikal yang dilaporkan pada ME 9/2023 berbanding minggu sebelumnya menunjukkan bilangan kedatangan pesakit ke CAC menurun 12.2%.
“Sementara bilangan kes COVID-19 baharu yang menjalani pemantauan di rumah meningkat 321.7% dan bilangan kes COVID-19 yang dirujuk CAC ke hospital menurun 14.3%,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dr Noor Hisham berkata dari 25 Jan 2020 (ME 4/2020) hingga 4 Mac 2023 (ME 9/2023), kumulatif kes baharu ialah 5,043,626 kes manakala kumulatif kes sembuh sebanyak 4,997,806.
“Jumlah kemasukan pesakit COVID-19 ke fasiliti kesihatan bagi setiap 100,000 penduduk kekal pada 2.8% pada ME 9/2023 dari 26 Feb hingga 4 Mac berbanding ME 8/2023,” katanya.
Beliau berkata survelan Penyakit Seperti Influenza (ILI) dan Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) bagi COVID-19 oleh Kementerian Kesihatan di lokasi sentinel seluruh negara mendapati 17 sampel ILI dikesan positif COVID-19 dengan kadar positif 2.4% pada ME 9/2023 dan tiada sampel SARI dikesan positif COVID-19 pada minggu sama.
(Rajah menunjukkan jumlah kemasukan pesakit COVID-19 ke fasiliti kesihatan
bagi setiap 100,000 penduduk dari ME 10/22 hingga ME 9/23 )