fb fb fb fb fb

Orang ramai simpati pembatalan lawatan PM ke Pahang

FOTO RTM

KUANTAN, 2 November – Orang ramai yang hadir di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Jabatan Tenaga Manusia (JTM) Kampus Kuantan hari ini melahirkan rasa simpati atas pembatalan lawatan kerja Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Pahang.

Rata-rata yang ditemui RTM memahami keputusan itu dibuat atas faktor kesihatan dan turut mendoakan agar Perdana Menteri segera sembuh serta kembali menjalankan tugas seperti biasa.

Seorang pelajar, Siti Nazura Abdul Ghani, berkata mereka telah menantikan ketibaan Perdana Menteri sejak minggu lalu, namun memahami keadaan kesihatan beliau.

“Kita tunggu dia dari minggu lepas. Bila dapat tahu dia sakit, kita ucapkan semoga cepat sembuh,” katanya.

Seorang lagi pelajar, Normaizatul Akma Imran, turut meluahkan rasa sedih apabila Datuk Seri Anwar tidak dapat hadir seperti yang dijadualkan.

“Sedih sebab PMX tak dapat datang. Insya-Allah, saya harap nanti beliau dapat datang ke ADTEC JTM,” katanya.

Bagi pengunjung, Azwanizar Abdul Rahman, berita mengenai keadaan kesihatan Perdana Menteri diketahui melalui laman Facebook.

“Saya dapat tahu daripada Facebook bahawa PM kita mengalami sakit belakang. Saya doakan supaya beliau cepat sembuh dan dapat menjalankan tugas seperti biasa,” ujarnya.

Seorang lagi pengunjung, Abdul Mustakim Abdul Manaf, turut berkongsi harapan sama.

“Kita memang mengharapkan PM datang, tapi beliau kurang sihat. Semoga cepat sembuh,” katanya ringkas.

Terdahulu, Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa lawatan kerja Datuk Seri Anwar ke Pahang terpaksa dibatalkan atas nasihat pasukan perubatan selepas beliau mengalami masalah sakit belakang.

Perdana Menteri dijadual menghadiri beberapa program termasuk Majlis Penutupan Karnival Hari Penjaja dan Peniaga Kecil 2025 di Temerloh, Program Temu Anwar@UMPSA, serta sesi ramah mesra di ADTEC Kuantan.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD